Atul menyusun satu per satu pinggan dan gelas di atas meja makan. Fikirannya menerawang seketika, teringat suasana di meja makan beberapa tahun yang lalu.
Jika dahulu masuk sahaja waktu makan, maka berebut-rebutlah tiga beradik itu ke ruang dapur menolong si ibu menyiapkan hidangan. Masing-masing mempunyai tugas tertentu yang telah dibahagikan oleh si ibu. Puteri sulung ditugaskan membancuh air dan membasuh pinggan mangkuk sesudah menjamu selera. Manakala pasangan kembar pula ditugaskan untuk mengemas meja dan menyusun pinggan mangkuk. Begitulah rutin harian mereka tiga beradik dalam menunaikan tanggungjawab sebagai anak di ruangan dapur. Namun kini, semuanya tinggal kenangan.
Penceraian orang tua mereka telah banyak mengubah keadaan, terutamanya keadaan Ara dan Fia. Ara merupakan satu-satunya anak yang rapat dengan ayah mereka, memandangkan Atul dan Fia lebih rapat dengan si ibu.
Ara mula bertukar menjadi liar, degil dan lebih suka keluar melepak. Fia pula bertukar mrnjadi pasif. Dahulu Fia merupakan seorang gadis yang periang dan banyak meluangkan masa bersama adik kembarnya. Namun, kini semua itu berubah menjadi sebaliknya. Memang benar, penceraian ibu bapa sememangnya memberi kesan yang lebih mendalam terhadap anak-anak.
"Kakak mana?" Pertanyaan Puan Hajar itu mengembalikan Atul ke dunia nyata semula.
"Mmm akak dekat stor. Kejap lagi datanglah tu." Atul mengambil jag air kemudian menuang air ke dalam setiap gelas.
"Hmphh kakak kau tu macam tu lah gayanya. Kena tegur sikit, sentap. Marah sikit, menangis." Puan Hajar memulakan 'rutin'nya. Mangkuk yang berisi lauk-pauk diletaknya di atas meja.
"Sebenarnya, apa yang dah jadi pa..." Belum sempat Atul melengkapkan soalannya, suaranya terus tersekat apabila melihat kelibat Ara muncul di dapur.
"Eh hai kak!" Atul menyapa mesra kakak sulungnya yang baru duduk di sebelahnya, menanti yang lain untuk makan sama.
Ara sekadar senyum pada Atul sambil memandang sekilas wajah ibunya.
"Nampaknya mak macam dah okey." Ara bermonolog sendirian melihat raut wajah ibunya seperti sudah tidak panas lagi kerana kecuaiannya pagi tadi.
Ara mula panjang akal mencari topik untuk memulakan perbualan dengan ibunya. Dipandangnya lauk utama yang terhidang di atas meja. Ara mendekatkan wajahnya pada hidangan lauk tersebut sambil menghidu aroma masakan ibunya. Jelaslah, bakat memasak yang ada pada dirinya selama ini sememangnya datang dari kemahiran memasak si ibu yang tidak perlu dinafikan lagi. Memang tiptop!
"Wahhh! Mak masak asam pedas hari ni. Mesti sedap!" Ara mula bersuara. Masakan asam pedas itu benar-benar menaikkan seleranya.
"Tengoklah siapa yang masak. Mak kau ni bekas juara pertandingan memasak tiga tahun berturut-turut masa zaman sekolah dulu tau." Puan Hajar turut membalas gurauan Ara. Ara tersenyum lega. Nampaknya tekaan Ara benar. Mood ibunya sudah kembali. Ara tahu ibunya memang tak boleh nak marah anaknya lama-lama. Nama pun ibu, ibu manalah yang tak sayangkan anak.
"Eh Atul. Fia? Fia mana?" Puan Hajar menampar lembut lengan Atul. Dia baru teringat rupa-rupanya puterinya yang seorang lagi masih tidak munculkan diri sedari tadi.
"Atul dah gerakkan dia tadi. Tapi tak bangun-bangun." Atul gegas bangun dari tempat duduknya namun pantas lengannya ditahan oleh Ara yang duduk di sisinya.
"Takpe, biar akak tengokkan. Mak dengan Atul makanlah dulu ye." Ara bingkas bangun dari tempat duduknya lalu pergi ke bilik adiknya.
***
Tok! Tok! Tok!
Pintu bilik diketuk dari luar.
"Fia?" Ara menyeru nama adiknya memandangkan tiada sebarang respon dari dalam bilik.
"Fia, akak masuk ya?" Ara meminta izin terlebih dahulu untuk masuk ke dalam bilik memandangkan Fia seorang yang kuat menyendiri.
Ara membuka pintu bilik. Matanya terhenti pada sekujur tubuh yang terbaring lemah di atas katil. Tanpa berfikir banyak, dia pantas mendekati adiknya yang kelihatan sangat tidak bermaya. Pucat dan lesu. Kakak mana yang tidak risau melihat adiknya selemah itu.
"Ya Allah. Fia? Fia okey tak? Panas sangat ni!" Reaksi Ara bertukar panik sebaik sahaja tangannya menyentuh dahi Fia yang panas.
Bersambung...