Saturday, 30 July 2016

WILL YOU BE MY HAURA? (Bab 2)

"Auuuuu!" Ara menahan sakit apabila kaki kirinya dihempap basikal.

Sosok seorang gadis keluar dari kereta mewah tersebut dalam keadaan panik, segera menghampiri Ara yang sudah rebah di atas jalan yang berbatu dan berlopak-lopak. Sosok seorang lelaki yang agak berusia juga keluar dari kereta tersebut.

"Awak tak apa-apa? Saya minta maaf, kami betul-betul tak sengaja." Gadis bertudung labuh itu pantas meminta maaf dengan nada yang agak risau. Basikal yang menghempap Ara dialihnya segera.

Ara menjeling sekilas gadis tersebut tanpa menghiraukan pertanyaan yang diajukan kepadanya sebentar tadi. Fikirannya menerawang seketika.

"Eh! Nasik lemak aku!" Ara yang sedari tadi berdiam diri mula bersuara apabila teringatkan 'amanah' ibunya. Menyedari bungkusan nasi lemak ibunya bertaburan di atas jalan raya, dia segera bangun dan kutip satu per satu bungkusan tersebut ke dalam bakul. Nasi yang berterabur di atas jalan raya itu dikaupnya dengan tangan tanpa mempedulikan dua manusia asing yang asyik memerhati setiap tingkahnya.

"Saya tolong ya." Gadis manis itu tunduk dan turut mengutip bungkusan nasi lemak tersebut.

"Saya minta maaf banyak-banyak. Semua ni takkan berlaku kalau saya tak cuai tadi. Awak jangan risau, saya akan bayar ganti rugi untuk semua ni." Jelas si gadis tersebut, menyedari dirinya memang bersalah kerana mengajak pemandu keretanya berborak sekali dengannya ketika memandu.

"Tak payah." Balas Ara dengan ringkas sambil menjeling gadis itu.

Baginya, orang kaya semuanya sama sahaja. Buat salah sikit, pasti duit yang ditawarkan untuk menutupi kesalahan sendiri.

"Saya Wardatul Aisya. Panggil Aisya je. Haa yang tu driver ayah saya, Pak Mat." Aisya kelihatan mesra memperkenalkan dirinya dan pemandunya yang masih terpacak berdiri di hadapan kereta itu sambil memerhatikan mereka berdua. Aisya menghulurkan tangannya kepada Ara untuk bersalaman sebagai tanda perkenalan. Sayangnya, salam itu tidak dibalas. Malah, disambut dengan jelingan dingin Ara.

"Emm, Pak Mat, tolong ambil bakul ni." Aisya mengambil bakul yang berisi dengan bungkusan nasi lemak tersebut dari pegangan Ara. Lantas dia menyerahkan bakul itu kepada Pak Mat.

"Eh! Apa awak buat ni?" Tanya Ara dengan nada suara yang mulai meninggi.

Aisya menuju ke kereta untuk mengambil dompet. Kemudian, kembali semula menuju ke arah Ara. Enam keping not RM50 dikeluarkan dari dompetnya, lalu dihulurkan kepada Ara.

Ara memandang wajah Aisya yang manis itu dengan pandangan bengis. Sekali lagi dia menghadiahkan jelingan sinis buat Aisya. Dia benar-benar tidak suka orang berpura-pura baik dengannya. Baginya, duit yang dihulurkan oleh Aisya itu seolah-olah memerli kedaifan hidupnya.

"Saya tak perlu duit ni. Bagi balik bakul tu." Ara menolak huluran duit Aisya tersebut lalu merenung Pak Mat dengan tajam memandangkan bakul itu berada dalam genggaman Pak Mat.

Berderau darah Pak Mat apabila melihat air muka Ara terus berubah. Dari wajah seorang gadis yang mulus, polos dan comel bertukar menjadi seorang gadis yang menggerunkan. Dengan mata bulatnya yang tercegil, siapa tidak cuak.

Pak Mat segera memandang Aisya, seakan mahu meminta izin untuk menyerahkan kembali bakul itu kepada Ara.

Aisya seakan mengerti dengan pandangan Pak Mat, lalu menggelengkan kepalanya tanda tidak setuju.

"Nah, RM300 ni termasuk harga bakul tu jugak. Bakul tu pun saya beli ya. Anggap saya pelanggan awak hari ni. Saya tahu mungkin cara saya agak kurang sopan. Saya sedar wang bukan segala-galanya bagi awak, tapi tolong beri peluang untuk saya tebus salah saya. Saya pun tak nak lepaskan peluang untuk rebut pahala buat baik, walaupun saya sedar saya bukan orang baik." Luah Aisya, sambil tangannya memegang tangan Ara lalu meletakkan duit tersebut ke dalam genggaman Ara.

Ara diam. Ternyata tanggapannya terhadap Aisya meleset jauh sama sekali. Aisya tidaklah seteruk yang disangkanya. Dari setiap butir bicara Aisya, dia langsung tidak menemukan sebarang kata yang kesat walau sepatah kata cuma. Lenggok bahasa dan nada suaranya juga lembut. Dari penampilannya sahaja, terserlah ciri-ciri muslimah pada dirinya. Berbeza dengan orang kaya-kaya yang pernah ditemuinya sebelum ini.

Kali ini, duit yang diserahkan oleh Aisya tadi tidak pula ditolaknya. Hanya mengiyakan sahaja setiap perbuatan Aisya itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dengan dirinya, bagaikan terkedu lidahnya untuk berkata-kata setelah mendengar ayat terakhir dari ucapan Aisya sebentar tadi.

"Saya pun tak nak lepaskan peluang untuk rebut pahala buat baik, walaupun saya sedar saya bukan orang baik."

Simple namun maknanya cukup mendalam.

***

Tiba sahaja di rumah, Ara terus menapak ke bilik kerana tidak mahu terserempak dengan ibunya. Kusut fikirannya memikirkan alasan apa yang mahu diberi jika ibunya tahu akan insiden tersebut. Mujur ketika dia sampai di rumah, ibunya sedang menjemur pakaian di halaman belakang. Semua yang terjadi itu juga salahnya sendiri, terlalu asyik melayan dunianya.

Jam dinding dipandangnya. Baru pukul 7.20 a.m.

"Ahhhh, kalau tidur waktu ni mesti nikmat giler." Getus Ara sambil menepuk-nepuk bantal kepalanya lalu berbaring di atas katil kesayangannya yang tidak berapa empuk.

Baru beberapa minit melelapkan mata, matanya terbuka sedikit apabila menyedari pintu biliknya dikuak kasar.

Siti Hajar sedang berdiri sambil mencekak pinggang di daun pintu, hairan kerana anaknya pulang begitu awal. Yang lebih menghairankannya, Ara pulang dengan tangan kosong.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment