Ara bingkas bangun lalu membetulkan posisi kedudukannya sambil mengadap ibunya. Seakan mengerti renungan ibunya, Ara mula bersuara menjelaskan insiden tersebut.
"Errr.. Ara minta maaf. Tadi.. Tadi masa tengah berjual, tiba-tiba ada kereta langgar Ara." Ara mula bersuara. Cuba mengumpul kekuatan untuk menjelaskan situasi sebenar.
"Nasi lemak mak, habis semua jatuh. Errr tapi mak jangan la risau, orang yang langgar tu dah bayar ganti rugi. Nah, dia siap bayar lebih lagi." Ara mengeluarkan RM300 dari poket seluarnya dan menghulur duit tersebut kepada ibunya.
"Ya Allah..." Siti Hajar memicit-micit kepalanya, terkejut bercampur geram mendengar penjelasan Ara sebentar tadi.
Ara sudah mulai menunduk. Dia tahu dia sudah mengecewakan ibunya. Selama dia membantu ibunya menjual nasi lemak, mana pernah kejadian sebegini berlaku.
"Macam mana kau bawa basikal tu Ara? Habis nasi lemak mak." Siti Hajar mendekati Ara yang sedang duduk bersila di atas katil. Nampaknya mengharapkan bantuan Ara untuk mencari rezeki bukanlah satu idea yang bernas. Bahkan makin jaharu jadinya.
"Kau ni Ara. Penat mak masak. Mak bangun pukul 2 pagi tau tak, semata-mata nak siapkan semua tu. Nak harapkan kau bangun awal tolong sekali, haram! Bangun subuh pun liat. Ingatkan minta tolong kau, bolehlah ringan sikit beban mak. Tak boleh harap. Bulan ni jangan harap nak dapat duit belanja." Duit di tangan Ara diambilnya lalu berpaling melangkah keluar dari bilik tersebut.
Langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah Ara semula.
"Ara, mak tahu bukan senang hidup tanpa ayah. Mak tahu kau tak rapat dengan mak macam mana kau rapat dengan ayah dulu. Tapi jangan sebab kau terpisah dari ayah, kau buat perangai macam ni." Siti Hajar sedar bahawa Ara telah banyak berubah semenjak penceraiannya dengan Ubaidillah, bekas suaminya. Ara semakin kuat memberontak dan mula keluar dengan kawan-kawan lelaki. Bila ditanya hendak ke mana, hendak ke perpustakaan jawabnya. Konon untuk study group, walhal nak berdating.
Ara tak pernah gagal dalam membohongi ibunya dengan sandiwaranya. Dan yang lebih menyedihkan, Ara semakin liar sejak berkawan dengan si kaki sosial, Ayu. Jika dahulu, sebelum ibu dan ayahnya bercerai, Ara rajin mengenakan tudung setiap kali ingin keluar ke mana-mana. Setiap malam jumaat, pasti dia dan adik-adiknya ikut menemani ayahnya ke surau. Sebaik sahaja pulang dari sekolah, pada sebelah petang, dia akan siapkan kerja sekolahnya secepat yang mungkin kemudian meluangkan waktu yang selebihnya bersama keluarga.
Namun kini, semuanya sudah berubah. Imejnya jauh berbeza sama sekali. Waktu lapangnya lebih banyak dihabiskan bersama Ayu dan teman-temannya yang lain. Ini semua kerana sering dipengaruhi oleh si Ayu, anak tunggal Bahar yang sering bersosial dan bergaul dengan budak-budak 'nakal' di kampung tersebut.
Ara diam. Kata-kata ibunya tidak pula disangkalnya. Lazimnya, setiap kali Siti Hajar menegurnya, ada sahaja akalnya ligat mencari 'bahan' untuk menjawab. Mak borek, anak rintik. Namun, kali ini Ara memilih untuk diam. Sebaik sahaja si ibu menapak keluar dari bilik, tanpa sedar manik-manik jernih mula gugur membasahi pipi.
"Ayah..." Rintih Ara.
Hatinya terus rindu sebaik sahaja ibunya mengungkit kembali perihal ayahnya. Anak mana yang tidak rindu setelah bertahun-tahun berpisah dari ayah kandung sendiri.
3 tahun. Ya, 3 tahun itu sudah cukup menjadi saksi penderitaannya menanggung rindu yang tidak bertepi. Air matalah peneman setianya setiap malam. Sungguh, dia perlukan ayahnya. Dia benar-benar rindukan kasih seorang ayah. Rindukan keluarganya yang dahulu.
Beratnya hati hanya Allah yang tahu saat perkataan 'cerai' terlafaz di bibir ayahnya gara-gara salah faham antara dua pihak. Saat itu, bermulalah penderitaannya hidup dalam keluarga yang bercerai-berai.
Terlalu banyak peristiwa besar yang terjadi dalam hidupnya sejak berpisah dari si ayah. Namun, paling tidak dapat dilupakan adalah malam yang hampir-hampir 'meragut' kesucian dirinya.
Dua tahun yang lalu, Ara pernah dipukul teruk serta dikenakan perintah berkurung selama sebulan kerana terkantoi sedang 'berseronok' di sebuah pub bersama seorang lelaki yang bernama Shazwan. Semuanya helah si Ayu, yang kononnya mempelawa Ara untuk membeli-belah di bandar, rupa-rupanya di tempat 'maksiat' itulah 'dicampak'nya Ara.
***
Malam itu, Ayu berkomplot dengan Shazwan, bekas pelajar SMK Seri Muara merangkap bekas teman sekelas Ara. Seorang pelajar yang bermasalah. Berhenti sekolah seawal usia 14 tahun kerana minat untuk belajar sudah tiada lagi. Shazwan yang sekian lama menaruh hati pada Ara semakin tercabar sifat kelelakiannya apabila Ara langsung tidak pernah membalas cintanya, malah menghinanya di depan semua pelajar kelas 3 Cempaka. Oleh kerana kenangan 'pahit' yang telah memberikan tamparan besar dalam hidupnya itulah yang mendorongnya untuk bersubahat dengan Ayu, merancang sebuah rancangan untuk menjatuhkan Ara dengan menggunakan taktik keji.
Disebabkan sikap Ara yang mudah percayakan orang itulah yang membuatkan rancangan Ayu dan Shazwan berjalan dengan lancar.
Pil khayal diletakkan ke dalam minuman tanpa pengetahuannya. Tanpa mengetahui keadaan sebenar, Ara meneguk Coke tersebut berkali-kali tanpa rasa was-was. Kepalanya mula terasa pening. Terasa tubuhnya seakan-akan melayang. Ayu yang duduk bersebelahan dengannya dalam diam mengambil gambarnya yang sedang 'nikmat' dalam dunianya sendiri. Gambar-gambar itu boleh digunakan sebagai satu 'kelebihan' untuknya satu hari kelak, pada saat yang benar-benar diperlukannya.
Shazwan yang tiba beberapa minit kemudian terus duduk di sisi Ara. Melihatkan Ara yang sedang 'khayal' lengkap dengan pemakaian yang agak 'seksa' itu membuatkan Shazwan terasa 'sesak'. Kerakusan nafsunya sudah tidak dapat dibendung lagi. Tanpa disuruh, Ara sendiri yang melentokkan kepalanya di atas bahu Shazwan disebabkan penangan pil tersebut. Ayu pula tidak ketinggalan untuk merakam babak terlebih 'sweet' itu.
Telefon bimbit Ayu berdering, tertera nama 'Mak Cik Hajar' pada skrin telefonnya.
Ayu panik. Pada mulanya, panggilan itu tidak mahu diangkat.
Namun, entah bagaimana, tiba-tiba sahaja otaknya terfikir akan satu idea yang sangat brilian. Sesuatu yang tidak pernah terfikir olehnya sebelum ini.
Panggilan Siti Hajar terus dijawabnya tanpa ragu-ragu.
"Hello?"
'Hello, Ayu ke ni?"
"Ya, Ayu ni. Makcik, nasib baik makcik call. Ayu dah tak tau nak buat apa ni makcik. Ara, mak cik." Lirih Ayu. Suaranya juga mula berubah menjadi sayu dan resah.
"Ara? Kenapa dengan Ara? Makcik baru nak tanya pasal dia ni. Tu apa bising-bising tu? Korang kat mana ni?" Tanya Siti Hajar yang mulai bimbang. Memandangkan Ara belum mempunyai telefon bimbit sendiri, maka Ayulah orang pertama yang akan dicarinya jika mereka lambat balik ke rumah.
"Nanti Ayu cerita makcik. Kejap lagi Ayu bawa Ara balik." Jawab Ayu diselit dengan esakan tangisnya. Sengaja dibuatnya begitu bagi membuatkan lakonannya lebih menjadi dan dramatik.
"Bawa? Apa maksud Ayu? Ara buat apa dekat Ayu? Ayu okey ke ni? Kenapa suara macam menangis ni?" Bertubi-tubi soalan diajukan kepada Ayu.
"Nanti Ayu cerita ya makcik. Ayu letak dulu. Assalamualaikum." Button 'end call' ditekan.
Ayu senyum.
"Huhh! Menjadi jugak lakonan aku. Ada bakat terpendam rupanya aku ni." Ayu memuji dirinya sendiri sambil ketawa kecil.
"Siapa?" Tanya Shazwan.
Ayu menoleh ke arah Shazwan yang sedang hangat bermadu kasih dengan gadis kesayangan.
"Bakal mak mentua kau." Sindir Ayu. Ara yang berada dalam pelukan Shazwan dijelingnya sekilas.
"Kitorang kena balik. Mak perempuan ni dah bising." Sambung Ayu sambil mengerling sekilas ke arah Ara.
"Alaaaa, baru pukul 11. Takkan nak blah? Rileks la dulu." Shazwan cuba memujuk.
"Tak boleh la Wan, aku ada plan lagi dahsyat ni. Lagipun aku dah janji dengan mak dia tadi untuk bawa dia balik sekarang jugak." Balas Ayu.
"Eh mana boleh macam ni, aku tak puas lagi. Aku belum dapat apa yang aku 'nak' lagi. Mana boleh blah macam tu je." Shazwan mendengus kasar.
"Alaa kau ni pun. Tak sabar-sabar! Nanti-nantilah aku bawa dia ke sini lagi. Kau boleh tak ikut je apa aku cakap? Dah dah, tepi." Ayu mengalih lengan Shazwan yang berpaut pada bahu Ara.
Ayu menelefon servis prebet sapu untuk menghantar mereka pulang ke rumah. Tubuh Ara digendong di belakang badannya. Slingbag Ara dicapainya. Tubuh Ara yang lemah longlai itu menjadikan tubuh Ara sedikit berat, membuatkan Ayu semakin membongkok. Dengan langkah yang kurang stabil, Ayu gagahkan jua kakinya untuk melangkah keluar dari pub tersebut.
Setibanya di rumah Ara, Ayu lantas mengubah mimik mukanya agar kelihatan sedih. Eye-Mo dititiskan ke matanya. Dia kembali meneruskan aktingnya.
"Ara, bangun. Kita dah sampai ni." Pipi Ara ditampar lembut. Ayu cuba menyedarkan Ara yang terlelap sepanjang perjalanan pulang tadi.
Ara perlahan membuka matanya. Ara mengerutkan dahi sambil memicit-micit kepalanya yang terasa pening. Segala yang dilihatnya samar-samar. Dirinya masih berada dalam keadaan separuh sedar memandangkan penangan pil khayal itu masih menguasai dirinya.
"Jom lah, keluar cepat." Ayu menarik lengan Ara untuk keluar dari kereta kancil itu.
"Nah pakcik. Terima kasih ya." Ayu membayar tambang kepada pakcik tersebut, lalu mengheret Ara keluar dari kereta tersebut.
Lengan kiri Ara dipaut pada bahunya. Perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke pintu rumah.
"Assalamualaikum. Makcik! Makcik!" Ayu memberi salam.
Pintu dikuak dari dalam.
"Waalaikumussalam. Ya Allah! Ara!!!"
Bersambung...
No comments:
Post a Comment