Satu per satu album dipunggah keluar dari kotak. Dan sebuah album yang berwarna kuning keemasan menarik perhatiannya. Ara membuka album gambar tersebut. Halaman demi halaman diselak. Bibirnya mengukir senyuman. Namun senyuman itu bukan senyuman kebahagiaan. Ia tidak lain tidak bukan hanyalah senyuman yang menutupi penderitaannya selama ini. Jatuh lagi air mata perempuannya. Matanya tertuju pada sekeping gambar keluarganya yang diambil pada 12 tahun yang lalu.
Si ayah segak berbaju kemeja, si ibu manis tersenyum sambil merangkul lengan sang suami. Manakala kedua-dua adiknya didukung oleh si ayah. Dirinya pula sedang berdiri di antara ibu dan ayah sambil tertawa riang. Sekali lagi, hatinya dirundung pilu.
Pintu stor dikuak.
"Kak?" Atul menyentak lamunan kakaknya yang sedang tenggelam melayan emosi.
Air mata yang mengalir pantas diseka. Ara segera menutup album gambar yang ditatapnya sebentar tadi.
"Kak? Akak okey? Nangis eh?" Atul lantas menghampiri lalu duduk di sisi kakaknya. Dia terpandang sebuah album yang masih berada dalam pegangan Ara. Senyum. Dia tahu benar sikap kakaknya. Jika tidak di bilik, di sinilah tempat kakaknya banyak menghabiskan masa mengimbau kembali kenangan manis bersama ayahnya dahulu.
"Akak jangan macam ni. Tak best lah." Atul cuba memecahkan kesunyian antara mereka berdua memandangkan Ara masih membisu.
"Alololo kesian akak comel kita ni. Menangis sampai merah mata dengan hidung." Usik Atul lagi sambil menarik hujung lengan bajunya untuk mengelap sisa air mata kakaknya yang masih belum kering.
Ara tersenyum mendengar celoteh adik bongsunya. Begitulah Atul. Jika dirinya sedang berduka, pasti Atul berusaha sebaik mungkin untuk menghiburkannya.
Atul seorang adik yang prihatin, lebih terbuka dan sangat rapat dengan kakak sulungnya. Jauh berbeza dengan Fia, kakak kembarnya. Meskipun dikandung dan dilahirkan dalam satu rahim, namun pendirian dua beradik itu amatlah berbeza.
Atul lebih peramah, penyayang dan optimis. Manakala Fia pula seorang yang pendiam, lebih tertutup dan banyak meluangkan masa dengan dunianya sendiri. Benarlah bak kata pepatah, "rambut sama hitam, hati lain-lain". Dan kerana sikap Atul yang terlebih prihatin itulah yang membuatkan Ara senang berada dekat dengannya. Sekurang-kurangnya, dia masih boleh merasakan sedikit kasih sayang daripada adiknya sendiri memandangkan sudah lama dia tidak merasai kasih daripada seorang ayah.
"Eleh, baru tahu ke kakak Atul ni comel? Kenapa Atul datang sini? Mak cari eh?" Ara mula bersuara setelah lara di hatinya berjaya dipujuk.
"Lama dah tahu, cuma selama ni sengaja je tak nak bagitau depan-depan. Nanti ada lah orang tu melebih-lebih pulak." Atul membalas sindiran kakaknya.
Ara tergelak mendengar jawapan adiknya. Gurauan adiknya sentiasa berjaya menghilangkan kesedihannya, walau hilang buat seketika cuma.
"Oh ya. Atul datang sini sebab mak suruh panggil akak, makan tengah hari sama-sama. Jom kak, mak dah siap masak tu." Sambung Atul.
"Hm, Atul pergilah dulu. Nanti akak datang." Ara mula memasukkan semula album-album gambar ke dalam kotak. Ikutkan hatinya, dirinya terlalu malas ingin bersemuka dengan ibunya. Namun, apabila teringat kejadian malang pagi tadi, dirinya menjadi serba salah kerana telah mengecewakan si ibu.
"Kak, apa dah jadi pagi tadi? Atul ada dengar mak bising-bising. Sebab tu ke akak menangis?" Kerana perasaan ingin tahu yang membuak-buak, maka Atul terus bertanya tanpa mengendahkan arahan kakaknya sebentar tadi.
"Tak ada apalah. Dah, pergi tolong mak siapkan apa yang patut." Ara cuba berdalih. Dia segera mematikan perbualan untuk mengelak dari ditanya bermacam-macam soalan lagi.
Atul akur. Dia tahu kakaknya tidak gemar berkongsi masalah dengan sesiapa, hatta orang yang terdekat dengannya sekalipun.
Dia bangkit dari duduknya, lalu melangkah keluar meninggalkan kakaknya yang masih mengemas di dalam stor tersebut.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment