"Astaghfirullahalazim. Ya Allah ya Tuhanku." Siti Hajar mengusap dadanya, cuba menenangkan dirinya yang masih dalam keadaan 'shock' melihat penampilan anaknya. Berderau darahnya setiap kali memandang tubuh anaknya dari atas ke bawah. Mini dress yang dipakai Ara cukup 'menyeksa' pandangan matanya. Dengan paha yang terdedah, dress yang terlalu ketat sehingga menampakkan segala lekuk-lekuk tubuh Ara. Ditambah pula dengan keadaan Ara yang tengah 'kick'. Sungguh, anak ini memang benar-benar menguji kesabaran seorang ibu!
"Eh mak?" Ara mengangkat wajahnya apabila terdengar suara ibunya. Pautan tangannya di bahu Ayu dilepaskan. Dia cuba berdiri sendiri dalam posisi yang tidak begitu stabil sehingga tubuhnya hampir terjatuh namun pantas disambut oleh Ayu semula.
"Mak kenapa bising-bising ni?" Soal Ara tanpa mengetahui dirinya sedang dijadikan 'bahan mainan' oleh sahabat baiknya sendiri.
Ara menggaru kepalanya. Kemudian senyum sambil memandang tepat ke wajah ibunya. Rambutnya dipintal-pintal dengan jarinya. Olahnya seperti orang yang hilang akal.
"Apa nak jadi dengan kau ni Ara?! Kau masuk! Masuk sekarang!" Lengan Ara dicengkam lalu ditolak masuk ke dalam rumah.
"Sakitlah mak." Gomel Ara apabila lengannya dicengkam kasar oleh ibunya.
"Kau masuk bilik kau sekarang!" Teriak Siti Hajar.
Ara menurut sahaja kata ibunya. Langkah kaki perlahan diatur menuju ke bilik.
Atul dan Fia segera keluar dari bilik apabila terdengar suara ibu mereka yang sedang mengamuk di tengah-tengah malam.
Namun, langkah mereka terhenti sebaik sahaja berselisih dengan seorang gadis yang cukup dikenali menuju ke bilik bersebelahan dengan bilik mereka.
Atul berpaling, lengan Ara ditahan.
"Akak? Ya Allah, kenapa akak macam ni?" Terkebil-kebil mata Atul bagai tak percaya gadis seksi di hadapannya itu adalah kakaknya sendiri. Kerana dia cukup mengenali kakak sulungnya sendiri, walaupun Ara seorang yang freehair namun Ara tidak pernah sesekali berani berpakaian sedemikian apatah lagi makan pil khayal. Something's fishy!
Fia menjeling kakaknya. Sememangnya dari dahulu lagi dia tidak senang dengan kakaknya semenjak Ayu mula rapat dengab Ara. Ayu benar-benar berjaya mengubah tingkah laku Ara.
Ara yang masih pening segera menapak ke biliknya tanpa mempedulikan pertanyaan adiknya.
Pasangan kembar itu melangkah menuju ke pintu depan melihat si ibu seperti sudah tidak terkawal.
"Mak, sabar ya." Atul menghampiri ibunya lalu mengusap lembut belakang badan ibunya.
"Makcik, Ayu rasa sekarang ni bukan masa yang sesuai untuk marah Ara. Kalau makcik marah-marah pun tak guna, sebab Ara masih dalam keadaan separuh sedar. Buat masa sekarang, makcik tenangkan diri dulu ya." Ayu cuba memujuk Siti Hajar.
"Apa dah jadi ni Ayu? Korang pergi mana sampai Ara pakai tak senonoh macam tu? Ara minum ke? Cakaplah Ayu." Rayu Siti Hajar agar Ayu mahu menjelaskan perkara sebenar.
"Hm, susah Ayu nak cakap makcik. Mula-mula memang kitorang nak shopping dekat bandar, tapi tak sangka pulak lepas tu Ara bawa Ayu melencong ke tempat lain. Katanya nak jumpa kawan lama. Ayu pun serba salah la nak biarkan dia pergi sorang-sorang. Jadi Ayu pun ikut la sekali temankan dia. Last-last tak sangka pulak jadi macam ni. Oh ya, sekejap ya makcik." Sambil rancak mereka cerita yang tidak betul, Ayu baru teringat bahawa dia ada kejutan besar untuk Siti Hajar. Telefon bimbit dikeluarkan dari beg lalu menunjukkan gambar-gambar Ara dan Shazwan kepada Siti Hajar.
Bagai mahu luruh jantung seorang ibu tatkala melihat anak kandung sendiri diperlakukan sebegitu murah sekali.
Siti Hajar hampir rebah namun pantas disambut oleh kedua-dua anak kembarnya di sisinya.
Kalau nak diikutkan amarahnya, sekarang juga dia mahu mencekik anak bertuah itu.
"Ayu dah kata Ayu tak nak ikut, tapi dia paksa Ayu jugak makcik. Dia ada pesan dekat Ayu supaya jangan beritahu makcik pasal ni, tapi Ayu serba salah. Ayu rasa makcik berhak tahu. Apa yang Ara buat ni terang-terang salah. Maafkan Ayu makcik sebab tak jaga dia baik-baik." Ujar Ayu. Hebat sungguh dia mengatur ayat menjelaskan kepada Siti Hajar kononnya dialah mangsa keadaan.
"Ya Allah. Siapa yang ajar kau buat semua ni Ara?" Rintih Siti Hajar. Berlinang-linang air matanya mengenang perbuatan anaknya. Selama ini dia sentiasa memastikan ketiga-tiga anaknya itu tidak akan terjebak dengan perkara-perkara yang tidak bermoral seperti anak-anak muda yang lain. Tidak menyangka sejauh ini Ara sanggup menyakitinya gara-gara tidak dapat hidup bersama ayahnya.
"Makcik, sabar ya. Makcik bawa bertenang. Mungkin Ara jadi macam tu sebab dia tertekan makcik." Ayu cuba memungkinkan.
"Mak, istighfar mak. Sabar. Bawa bertenang dulu. Jom kita masuk mak, dah lewat ni. Kak Ayu, baliklah dulu. Mesti pakcik Bahar pun risau kak Ayu tak balik-balik lagi." Perlahan-lahan Atul pimpin ibunya yang sudah tidak berdaya itu masuk ke dalam rumah.
Apabila Ayu baru sahaja selangkah dua ingin pergi, namun pantas Fia menarik kasar tangannya.
"Hei apa ni? Sakit tau tak?!" Marah Ayu apabila tangannya ditarik mengejut.
"Kau dengar sini. Kau boleh tipu mak aku, kau boleh tipu semua orang, tapi kau tak boleh perdaya aku macam mana kau perdaya kakak aku. Satu hari nanti, aku akan pastikan fitnah yang kau tabur pada kakak aku akan berpaling pada kau semula." Gertak Fia. Dia tahu Ayu sedang melaga-lagakan keluarganya. Meskipun dia tidak terlalu rapat dengan Ayu seperti kakaknya, namun dia cukup faham muslihat gadis licik seperti Ayu. Dia sendiri tidak faham mengapa kakaknya begitu buta untuk membezakan yang mana kawan atau lawan.
Ayu terdiam seketika. Terkelu lidahnya mendengar ugutan gadis yang muda setahun darinya. Dalam diam Fia itu rupa-rupanya berbisa.
Ayu cuba melepaskan pegangan Fia, namun kudratnya tidak sekuat Fia.
"Sayang, muka dah elok tapi hati busuk mengalahkan bangkai." Perli Fia, sengaja ingin menyakitkan hati Ayu. Pegangan pada tangan Ayu dilepaskan.
Ayu segera berpaling dan pergi dari situ secepat mungkin. Dirinya berasa tercabar berdepan dengan Fia.
"Lagak suci." Desus Fia.
***
"Urghhhhhhhhh."
Ara menggeliat. Dalam keadaan mata yang masih terpejam, tangannya ligat mencari selimut apabila mendapati tubuhnya tidak ditutup dengan selimut. Terasa suhu pada pagi itu terlalu sejuk. Hairan, selalunya tidaklah terlalu sejuk hingga menusuk ke tulang-belulang. Sedang tangannya ralit meraba-raba mencari selimut, tangannya terlebih dahulu menyentuh pahanya yang terdedah.
Matanya pantas terbuka. Automatik dia duduk tegak melihat dirinya masih mengenakan dress yang dibeli oleh Ayu untuknya semalam. Tangannya memicit-micit kepalanya yang masih pening. Tiba-tiba dia terfikir, bagaimana dia boleh pulang ke rumah dengan berpakaian sebegini? Ibunya tidak tahu kah?
Jam di dinding menunjukkan pukul 9.30 a.m. Ara bangun untuk membersihkan diri.
"Arghhh." Ara mengerang kesakitan sambil memicit-micit kepalanya. Belum sempat menapak ke bilik mandi, dia seakan-akan teringat sesuatu.
Mulutnya terlopong apabila teringat kejadian semalam.
Meskipun tidak mengingati kesemuanya, namun dia cukup ingat amukan ibunya malam tadi.
"Ya Allah, mati aku." Bisik Ara.
Kedengaran pintu biliknya dikuak dari luar, walaupun tidak tahu siapa, namun firasatnya kuat mengatakan yang membuka pintu itu adalah ibunya. Cepat-cepat Ara masuk ke dalam bilik mandi lalu menutup pintu kononnya untuk mandi. Takut jika amukan ibunya kembali lagi jika mengetahui dia masih berpakaian sebegitu.
"Hei Ara. Buka! Buka pintu ni sekarang!" Siti Hajar yang baru sahaja menyelesaikan semua rutin paginya meluru masuk ke bilik Ara lalu mengetuk kasar pintu bilik mandi tersebut. Bukannya dia tidak perasan kelibat anaknya yang kelam-kabut masuk ke dalam bilik mandi tadi.
"Errr Ara tengah mandi ni. Ada apa mak? Janganlah ketuk pintu macam nak roboh." Dalam kekalutan, Ara sempat menjawab. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia lari dari rumah sekarang juga. Seram ingin berhadapan dengan ibunya.
"Mak tak peduli. Mak nak kau buka pintu ni sekarang." Jawapan Siti Hajar benar-benar membuatnya tercekik darah.
"Buka pintu? Dengan pakai macam ni?" Ara bermonolog sendirian.
"Eh tak boleh, tak boleh. Kalau dia nampak, naya aku. Hmmmm." Ara mengusap dagunya sambil memikirkan sesuatu.
"Haaaa! Tuala!" Nasib baik dia sempat membawa tuala bersamanya sekali ke dalam bilik mandi. Lalu tuala tersebut dililit pada tubuhnya bagi menutupi dress yang dipakainya.
Dengan rasa gementar, pintu bilik mandi dibuka perlahan-lahan. Namun dibukanya separuh sahaja, menampakkan hanya sebahagian tubuhnya yang kelihatan.
Siti Hajar memandang tubuh anaknya. Pintu bilik mandi ditolak menyebabkan Ara mengundur sedikit ke belakang. Lalu, tuala yang dililit pada tubuh genit Ara itu direntap dengan kasar, sampai terkejut Ara dibuatnya.
"Mana kau dapat duit beli baju ni?" Soal Siti Hajar sambil menunjuk dress yang tersarung pada tubuh Ara. Nampaknya idea untuk menutup pakaian tersebut dengan tuala langsung tidak membantu.
"Ayu yang kasi. Dia belanja." Ara menunduk.
"Kau jangan nak tipu mak. Mak dah tahu semua."
"Tipu apa? Ara tak tipu, kalau mak suruh Ara bersumpah, Ara berani buat." Ara segera menghampiri ibunya lalu mengangkat tangan kanannya seakan-akan bersumpah.
"Oh tak tipu? Habis tu semalam kau mabuk, rupa dah macam orang tak betul, itu kau cakap tak tipu? Takkan air setan tu boleh masuk sendiri dalam mulut kau? Kau memang sengaja nak suruh mak mati cepat kan?" Suara Siti Hajar sudah melengking tinggi. Kesabarannya benar-benar sudah tipis!
Ara menekan perutnya yang terasa pedih. Tekaknya terasa loya semacam. Tanpa mempedulikan ibunya yang berdiri di hadapannya, laju sahaja kakinya melangkah ke bilik mandi, memuntahkan segala isi perutnya ke dalam mangkuk tandas kemudian membasuh mukanya di sinki.
Ara melangkah lemah keluar dari bilik mandi. Lehernya diurut perlahan kerana tekaknya masih terasa kelat setelah muntah sebentar tadi.
Menyirap darah Siti Hajar apabila menyaksikan anaknya muntah-muntah di depan mata dan kepalanya sendiri. Tercegil matanya kerana fikirannya mula terfikir yang bukan-bukan. Tanpa cuba bertanya kepada Ara terlebih dahulu, Siti Hajar terus bertindak. Almari pakaian dibuka, hanger dicapai.
"Anak tak guna! Kau rosakkan diri kau sendiri! Sanggup kau gadai maruah demi lelaki? Kau langsung tak sayang mak kan?" Rambut Ara ditarik sebelum tubuhnya ditolak hingga jatuh tersungkur ke lantai rumah. Badan belakang Ara dipukul berkali-kali dengan hanger. Kelakuan Siti Hajar sudah seperti orang yang tidak waras.
"Mak, sakit mak!" Ara meraung kesakitan.
"Selama ni aku sabar dengan kau. Aku yang lahirkan kau, aku besarkan kau, aku jaga kau, aku didik kau. Kau cakap dengan aku, apa lagi yang aku lupa ajar kau? Apa lagi yang tak cukup?! Sampai hati kau buat aku macam ni Ara! Aku jaga kau baik-baik, banyak kali dah aku pesan jaga maruah keluarga. Kau tengok apa kau dah buat sekarang!" Berkali-kali wajah Ara ditampar. Siti Hajar benar-benar sudah hilang sabar dengan anaknya. Tidak menyangka setegak itu Ara menconteng arang ke muka ibunya sendiri.
Ara terus memeluk kaki ibunya, merayu-rayu sambil meraung kesakitan.
"Sumpah mak! Ara tak buat. Ara tak pernah izinkan mana-mana lelaki rosakkan Ara. Ni semua salah faham. Ara tak mengandung, Ara cuma mual. Sumpah mak! Kalau mak suruh Ara junjung Quran pun Ara sanggup. Maafkan Ara mak. Maafkan Ara." Ara cuba menjelaskan situasi sebenar.
Fia muncul di muka pintu kerana terdengar pekikan suara ibunya.
"Ya Allah, mak! Apa mak buat ni?" Tanpa berlengah, Fia terus menghalang ibunya dari terus memukul kakaknya. Hanger di tangan ibunya diambil.
Kemudian Atul pula munculkan diri.
Atul segera merapati kakaknya yang masih memeluk kaki ibunya. Perlahan-lahan dia membantu Ara untuk bangkit lalu memapahnya duduk di hujung katil.
Gugur air matanya tatkala melihat luka-luka kecil serta calar-balar yang berbekas di tubuh kakaknya.
"Kau dengar sini, mulai hari ni mak haramkan kau keluar dari rumah selama sebulan. Kalau kau masih lagi nak jadi anak mak, kau dengar cakap mak. Sekali lagi kau buat onar, mak takkan teragak-agak buang kau dari rumah ni." Arah Siti Hajar dengan tegas sebelum berlalu keluar dari bilik itu.
***
Ugutan ibunya masih lagi terngiang-ngiang dalam kotak fikirannya sehingga dia benar-benar berwaspada agar tidak mengulangi kesalahan yang sama itu lagi. Pernah berkali-kali dia bertanya kepada Ayu perihal kejadian itu, namun Ayu memberitahunya bahawa Ayu turut menjadi mangsa keadaan seperti dirinya sendiri. Kebohongan Ayu itu dipercaya bulat-bulat. Hingga kini, dia masih lagi tertanya siapakah dalang di sebalik kejadian malam itu.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment