Friday, 26 August 2016

WYBMH Teaser #7

Setibanya di RED Cafe, langkah Ara terhenti. Kakinya seakan-akan dipaku. Lama matanya merenung pintu utama cafe tersebut. Bibirnya terkumat-kamit membaca ayatul kursi, selawat dan zikir.

"Rabbi yassir wala tu'assir, Rabbi tammim bilkhair. Ya Allah, permudahkanlah dan jangan disulitkan. Ya Allah, akhirilah ia dengan kebaikan." Ara mengelus lembut dadanya yang terasa sesak semacam. Gementar barangkali.

Perlahan kakinya mengatur langkah. Ikutkan hati, mahu sahaja dia berpaling dan beredar dari situ. Namun, dia perlu bersikap rasional. Jika bukan hari ini, sampai bila lagi isu remeh ini mahu berakhir? Mahu atau tidak, dia perlu berikan kata putus hari ini juga!

Pintu dikuak.

Matanya melilau mencari meja yang sesuai untuk perjumpaan yang teramat penting ini. Kalau boleh, meja yang terletak berhampiran dengan dinding, yang jauh dari pemerhatian umum memandangkan masalah ini terlalu personal.

"Alhamdulillah." Ara tersenyum lega apabila mendapati masih ada meja kosong sesuai dengan kehendaknya.

Tanpa berlengah, Ara terus duduk dan membuat pesanan. Seperti biasa, lemon juice sentiasa menjadi pilihan hatinya.

Sementara menanti kedatangan lima insan yang telah dijanjikan, telefon bimbit dikeluarkan dari beg tangannya. App Muslim Pro dibuka. Jarinya ralit scroll up mencari surah yang ingin dibaca, matanya tertumpu pada surah yang terpanjang sekali di dalam Al-Quran, yakni Al-Baqarah.

Bibirnya mula mengalunkan ayat-ayat suci, namun apabila bacaannya tiba pada ayat yang kelapan, manik-manik jernih mulai gugur. Bacaan tetap diteruskan hinggalah ayat yang ke 18, bibirnya bergetar. Dan akhirnya bacaan terhenti, tidak mampu untuk diteruskan lagi. Allah seakan-akan berbicara langsung dengannya melalui surah tersebut. Dia mengingat kembali zaman yang mana dirinya dahulu seronok mempersendakan orang-orang yang beriman. Dadanya ditekan-tekan. Sungguh, pilu di hati tidak mampu dibendung lagi. Ara tertunduk menyembunyikan wajah agar tangisannya tidak dilihat oleh sesiapa.

"Rabbana la tuzigh qulu bana ba'da iz hadaitana wa hab lana milladunka rahmah, innaka antal wahhab." Ara membaca sedikit petikan ayat dari surah Al-Imran yang dihafalnya ketika usrah, iaitu doa memohon ketetapan hati serta ketabahan jiwa dalam melaksanakan amal-amal ketaatan kepada Allah Azza wa Jalla.

Sungguh, Allah jualah yang berkuasa menggerakkan hatinya untuk membaca surah Al-Baqarah tersebut sehingga dia tertunduk malu mengenang karat jahiliah lalu.

To be continued in full version.

p/s : Jujur, ini antara teaser yg agak 'payah' untuk saya nukilkan. Sebab saya pun turut sebak membayangkan situasi Ara yg sedang tenat, yg perlu berhadapan dgn beberapa manusia di masa lalunya.

Tuesday, 23 August 2016

WILL YOU BE MY HAURA? (Bab 5)

Satu per satu album dipunggah keluar dari kotak. Dan sebuah album yang berwarna kuning keemasan menarik perhatiannya. Ara membuka album gambar tersebut. Halaman demi halaman diselak. Bibirnya mengukir senyuman. Namun senyuman itu bukan senyuman kebahagiaan. Ia tidak lain tidak bukan hanyalah senyuman yang menutupi penderitaannya selama ini. Jatuh lagi air mata perempuannya. Matanya tertuju pada sekeping gambar keluarganya yang diambil pada 12 tahun yang lalu.

Si ayah segak berbaju kemeja, si ibu manis tersenyum sambil merangkul lengan sang suami. Manakala kedua-dua adiknya didukung oleh si ayah. Dirinya pula sedang berdiri di antara ibu dan ayah sambil tertawa riang. Sekali lagi, hatinya dirundung pilu.

Pintu stor dikuak.

"Kak?" Atul menyentak lamunan kakaknya yang sedang tenggelam melayan emosi.

Air mata yang mengalir pantas diseka. Ara segera menutup album gambar yang ditatapnya sebentar tadi.

"Kak? Akak okey? Nangis eh?" Atul lantas menghampiri lalu duduk di sisi kakaknya. Dia terpandang sebuah album yang masih berada dalam pegangan Ara. Senyum. Dia tahu benar sikap kakaknya. Jika tidak di bilik, di sinilah tempat kakaknya banyak menghabiskan masa mengimbau kembali kenangan manis bersama ayahnya dahulu.

"Akak jangan macam ni. Tak best lah." Atul cuba memecahkan kesunyian antara mereka berdua memandangkan Ara masih membisu.

"Alololo kesian akak comel kita ni. Menangis sampai merah mata dengan hidung." Usik Atul lagi sambil menarik hujung lengan bajunya untuk mengelap sisa air mata kakaknya yang masih belum kering.

Ara tersenyum mendengar celoteh adik bongsunya. Begitulah Atul. Jika dirinya sedang berduka, pasti Atul berusaha sebaik mungkin untuk menghiburkannya.

Atul seorang adik yang prihatin, lebih terbuka dan sangat rapat dengan kakak sulungnya. Jauh berbeza dengan Fia, kakak kembarnya. Meskipun dikandung dan dilahirkan dalam satu rahim, namun pendirian dua beradik itu amatlah berbeza.

Atul lebih peramah, penyayang dan optimis. Manakala Fia pula seorang yang pendiam, lebih tertutup dan banyak meluangkan masa dengan dunianya sendiri. Benarlah bak kata pepatah, "rambut sama hitam, hati lain-lain". Dan kerana sikap Atul yang terlebih prihatin itulah yang membuatkan Ara senang berada dekat dengannya. Sekurang-kurangnya, dia masih boleh merasakan sedikit kasih sayang daripada adiknya sendiri memandangkan sudah lama dia tidak merasai kasih daripada seorang ayah.

"Eleh, baru tahu ke kakak Atul ni comel? Kenapa Atul datang sini? Mak cari eh?" Ara mula bersuara setelah lara di hatinya berjaya dipujuk.

"Lama dah tahu, cuma selama ni sengaja je tak nak bagitau depan-depan. Nanti ada lah orang tu melebih-lebih pulak." Atul membalas sindiran kakaknya.

Ara tergelak mendengar jawapan adiknya. Gurauan adiknya sentiasa berjaya menghilangkan kesedihannya, walau hilang buat seketika cuma.

"Oh ya. Atul datang sini sebab mak suruh panggil akak, makan tengah hari sama-sama. Jom kak, mak dah siap masak tu." Sambung Atul.

"Hm, Atul pergilah dulu. Nanti akak datang." Ara mula memasukkan semula album-album gambar ke dalam kotak. Ikutkan hatinya, dirinya terlalu malas ingin bersemuka dengan ibunya. Namun, apabila teringat kejadian malang pagi tadi, dirinya menjadi serba salah kerana telah mengecewakan si ibu.

"Kak, apa dah jadi pagi tadi? Atul ada dengar mak bising-bising. Sebab tu ke akak menangis?" Kerana perasaan ingin tahu yang membuak-buak, maka Atul terus bertanya tanpa mengendahkan arahan kakaknya sebentar tadi.

"Tak ada apalah. Dah, pergi tolong mak siapkan apa yang patut." Ara cuba berdalih. Dia segera mematikan perbualan untuk mengelak dari ditanya bermacam-macam soalan lagi.

Atul akur. Dia tahu kakaknya tidak gemar berkongsi masalah dengan sesiapa, hatta orang yang terdekat dengannya sekalipun.

Dia bangkit dari duduknya, lalu melangkah keluar meninggalkan kakaknya yang masih mengemas di dalam stor tersebut.

Bersambung...

Sunday, 21 August 2016

Qowiy Lillah!

Siapa sangka dahulu gadis yg selalu kutuk orang berjubah, sekarang dialah yg berjubah.
Siapa sangka dahulu gadis yg membangga-banggakan kesempurnaan tubuhnya, kini dia malu untuk menayangkan tubuhnya pada umum. Hatta ingin keluar rumah juga dia berasa tidak selamat.
Siapa sangka dahulu gadis yg suka terdedah sana sini, seksi meksi, sekarang dia habis-habisan tutup semampu yg mungkin.
Siapa sangka dahulu gadis yg rimas dengan tudung labuh, kini dialah yg sedang bertudung labuh.
Siapa sangka dahulu gadis yg benci berstokin, berhandsock kononnya panas, sekarang dia lebih rela berpanasan di dunia jika dibandingkan panas di 'sana'.
Siapa sangka dahulu gadis yg memandang serong terhadap muslimah yg berpurdah/berniqab, kini dia sendiri bergelar niqabis.
Siapa sangka dahulu gadis yg pantang nampak lelaki handsome, suka kasi num hp sebarangan, couple break bagai, sekarang dia latih dirinya menundukkan pandangan dan cuba menjauhkan diri dari fitnah dunia.
Siapa sangka dahulu gadis yg tak pernah baca dan pandang Quran, kini dia terlalu kasihkan Al-Quran, sampaikan pandang Quran sahaja pun dia dah rasa sebak tak terkata.
Siapa sangka dahulu gadis yg suka mencarut dalam media sosial, kini lebih gemar berkongsi ilmu yg bermanfaat, kurangkan berkata yg tidak elok.
Siapa sangka dahulu gadis yg tak suka solat hatta tak pernah buat solat sunat langsung sebab malas, letih, tak takut azab Allah, sekarang punyalah dia pulun laksanakan kewajipannya sbg hamba Allah, krn dia sedar untuk masuk syurga, dia perlukan rahmat dan redha Allah. Untuk dapatkan semua tu, kena buat apa yg Allah perintahkan. Dia takut, pengakhiran hidupnya nanti tidak mendapat redha Allah. Dia takut, Allah tak sudi memandangnya lagi. Dia takut, dia jauh dari pemeliharaan Allah.

Siapa sangka?

Dahulu dia jauh dari Allah, dia rugi dunia akhirat. Allah tak rugi apa pun. Lalu Allah sengaja menimpakan ujian yg agak berat baginya kerana hanya dengan cara itu sahaja boleh membuatkan dia 'sedar diri'. Allah nak dia kembali kepada jalan yg benar lagi nyata. Allah taknak dia terus tenggelam. Dia mula berfikir dan mencari jalan 'pulang'. Namun cari punya cari, dia 'tersangkut' di antara dua jalan. Lantas Allah timpakan pula ujian berbentuk aib untuknya. Dia rebah. Futur. Down gila. Sampai satu tahap dia pernah terfikir untuk 'tamatkan' riwayatnya. Bahkan dia sampai berdoa agar nyawanya dicabut sekarang juga dek tak sanggup lagi nak menanggung dugaan yg mendatang. Astaghfirullahalazim. Nauzubillahiminzalik! Allah hadirkan pula beberapa hambaNya sebagai pembimbing dirinya ke arah kebaikan. Dalam diam, dia malu. Malu sangat sangat kerana berdampingan dengan manusia-manusia hebat, sedang dirinya? Allah.. Dia tersedar, dia perlukan Allah. Sebab bila dia ada Allah, dia memiliki segala-galanya. Dan bermula detik itu, dia mula mencari Tuhannya. Tuhan yg selama ini sedia menantinya :')

Ya, dia memang seorang insan yg mempunyai dosa-dosa silam. Namun tiada pendosa yg tidak layak jadi baik. Semuanya layak. Bahkan Allah sangat cintakan hambaNya yg suka memohon ampun serta bertaubat kepadaNya.

Tak perlu dia ceritakan setiap inci kisah hijrahnya. Kerana sudah pasti apabila seorang gadis jahil ingin berubah menjadi baik, bertubi-tubi manusia yg mengenali sejarah silamnya dahulu cuba mencanang aibnya satu per satu. Menjaja itu ini. Kutuk habis-habisan. Dipinggirkan. Dibenci. Dimaki. Dihina. Dipandang serong. Dilabel macam-macam. Diaib sana sini. Semua dia dah rasa. Seolah-olah memang sudah tiada ruang lagi untuknya menjadi lebih baik.

Tetapi dia tetap percaya pada satu pendirian.

"Bila dia punya Allah, dia memiliki segalanya."

Jadi, untuk apa dia gentar pada manusia sedangkan manusia itu juga ada salah silapnya di mana-mana.
Jika dia dihina seteruk apa sekalipun, bukankah orang yg menghinanya itu lebih hina?
Tidak mengapa jika hina di mata manusia, asalkan tidak hina di mata penduduk langit.
Dia terus kuat kerana Allah.
Dia ingin redha Tuhannya.
Bukan kepuasan hati setiap manusia.

Terima kasih Allah, kerana menjentik hatinya dengan beberapa ujian yg manis sekali. Terima kasih kerana kembalikan dia ke jalan yg sebenar-benarnya. Terima kasih kerana sudi memandangnya dengan redupan kasihMu. Wallahi, sehingga kini dia tak pernah berhenti bersyukur kerana menjadi antara yg terpilih utk merasakan nikmat hidayah dan taufiqMu.

You hate me?
I don't care.
'Cause I have Allah SWT!

Dari tirai hati si gadis jahil,
Yna.

Tuesday, 9 August 2016

WILL YOU BE MY HAURA? (Bab 4)

"Astaghfirullahalazim. Ya Allah ya Tuhanku." Siti Hajar mengusap dadanya, cuba menenangkan dirinya yang masih dalam keadaan 'shock' melihat penampilan anaknya. Berderau darahnya setiap kali memandang tubuh anaknya dari atas ke bawah. Mini dress yang dipakai Ara cukup 'menyeksa' pandangan matanya. Dengan paha yang terdedah, dress yang terlalu ketat sehingga menampakkan segala lekuk-lekuk tubuh Ara. Ditambah pula dengan keadaan Ara yang tengah 'kick'. Sungguh, anak ini memang benar-benar menguji kesabaran seorang ibu!

"Eh mak?" Ara mengangkat wajahnya apabila terdengar suara ibunya. Pautan tangannya di bahu Ayu dilepaskan. Dia cuba berdiri sendiri dalam posisi yang tidak begitu stabil sehingga tubuhnya hampir terjatuh namun pantas disambut oleh Ayu semula.

"Mak kenapa bising-bising ni?" Soal Ara tanpa mengetahui dirinya sedang dijadikan 'bahan mainan' oleh sahabat baiknya sendiri.

Ara menggaru kepalanya. Kemudian senyum sambil memandang tepat ke wajah ibunya. Rambutnya dipintal-pintal dengan jarinya. Olahnya seperti orang yang hilang akal.

"Apa nak jadi dengan kau ni Ara?! Kau masuk! Masuk sekarang!" Lengan Ara dicengkam lalu ditolak masuk ke dalam rumah.

"Sakitlah mak." Gomel Ara apabila lengannya dicengkam kasar oleh ibunya.

"Kau masuk bilik kau sekarang!" Teriak Siti Hajar.

Ara menurut sahaja kata ibunya. Langkah kaki perlahan diatur menuju ke bilik.

Atul dan Fia segera keluar dari bilik apabila terdengar suara ibu mereka yang sedang mengamuk di tengah-tengah malam.

Namun, langkah mereka terhenti sebaik sahaja berselisih dengan seorang gadis yang cukup dikenali menuju ke bilik bersebelahan dengan bilik mereka.

Atul berpaling, lengan Ara ditahan.

"Akak? Ya Allah, kenapa akak macam ni?" Terkebil-kebil mata Atul bagai tak percaya gadis seksi di hadapannya itu adalah kakaknya sendiri. Kerana dia cukup mengenali kakak sulungnya sendiri, walaupun Ara seorang yang freehair namun Ara tidak pernah sesekali berani berpakaian sedemikian apatah lagi makan pil khayal. Something's fishy!

Fia menjeling kakaknya. Sememangnya dari dahulu lagi dia tidak senang dengan kakaknya semenjak Ayu mula rapat dengab Ara. Ayu benar-benar berjaya mengubah tingkah laku Ara.

Ara yang masih pening segera menapak ke biliknya tanpa mempedulikan pertanyaan adiknya.

Pasangan kembar itu melangkah menuju ke pintu depan melihat si ibu seperti sudah tidak terkawal.

"Mak, sabar ya." Atul menghampiri ibunya lalu mengusap lembut belakang badan ibunya.

"Makcik, Ayu rasa sekarang ni bukan masa yang sesuai untuk marah Ara. Kalau makcik marah-marah pun tak guna, sebab Ara masih dalam keadaan separuh sedar. Buat masa sekarang, makcik tenangkan diri dulu ya." Ayu cuba memujuk Siti Hajar.

"Apa dah jadi ni Ayu? Korang pergi mana sampai Ara pakai tak senonoh macam tu? Ara minum ke? Cakaplah Ayu." Rayu Siti Hajar agar Ayu mahu menjelaskan perkara sebenar.

"Hm, susah Ayu nak cakap makcik. Mula-mula memang kitorang nak shopping dekat bandar, tapi tak sangka pulak lepas tu Ara bawa Ayu melencong ke tempat lain. Katanya nak jumpa kawan lama. Ayu pun serba salah la nak biarkan dia pergi sorang-sorang. Jadi Ayu pun ikut la sekali temankan dia. Last-last tak sangka pulak jadi macam ni. Oh ya, sekejap ya makcik." Sambil rancak mereka cerita yang tidak betul, Ayu baru teringat bahawa dia ada kejutan besar untuk Siti Hajar. Telefon bimbit dikeluarkan dari beg lalu menunjukkan gambar-gambar Ara dan Shazwan kepada Siti Hajar.

Bagai mahu luruh jantung seorang ibu tatkala melihat anak kandung sendiri diperlakukan sebegitu murah sekali.

Siti Hajar hampir rebah namun pantas disambut oleh kedua-dua anak kembarnya di sisinya.

Kalau nak diikutkan amarahnya, sekarang juga dia mahu mencekik anak bertuah itu.

"Ayu dah kata Ayu tak nak ikut, tapi dia paksa Ayu jugak makcik. Dia ada pesan dekat Ayu supaya jangan beritahu makcik pasal ni, tapi Ayu serba salah. Ayu rasa makcik berhak tahu. Apa yang Ara buat ni terang-terang salah. Maafkan Ayu makcik sebab tak jaga dia baik-baik." Ujar Ayu. Hebat sungguh dia mengatur ayat menjelaskan kepada Siti Hajar kononnya dialah mangsa keadaan.

"Ya Allah. Siapa yang ajar kau buat semua ni Ara?" Rintih Siti Hajar. Berlinang-linang air matanya mengenang perbuatan anaknya. Selama ini dia sentiasa memastikan ketiga-tiga anaknya itu tidak akan terjebak dengan perkara-perkara yang tidak bermoral seperti anak-anak muda yang lain. Tidak menyangka sejauh ini Ara sanggup menyakitinya gara-gara tidak dapat hidup bersama ayahnya.

"Makcik, sabar ya. Makcik bawa bertenang. Mungkin Ara jadi macam tu sebab dia tertekan makcik." Ayu cuba memungkinkan.

"Mak, istighfar mak. Sabar. Bawa bertenang dulu. Jom kita masuk mak, dah lewat ni. Kak Ayu, baliklah dulu. Mesti pakcik Bahar pun risau kak Ayu tak balik-balik lagi." Perlahan-lahan Atul pimpin ibunya yang sudah tidak berdaya itu masuk ke dalam rumah.

Apabila Ayu baru sahaja selangkah dua ingin pergi, namun pantas Fia menarik kasar tangannya.

"Hei apa ni? Sakit tau tak?!" Marah Ayu apabila tangannya ditarik mengejut.

"Kau dengar sini. Kau boleh tipu mak aku, kau boleh tipu semua orang, tapi kau tak boleh perdaya aku macam mana kau perdaya kakak aku. Satu hari nanti, aku akan pastikan fitnah yang kau tabur pada kakak aku akan berpaling pada kau semula." Gertak Fia. Dia tahu Ayu sedang melaga-lagakan keluarganya. Meskipun dia tidak terlalu rapat dengan Ayu seperti kakaknya, namun dia cukup faham muslihat gadis licik seperti Ayu. Dia sendiri tidak faham mengapa kakaknya begitu buta untuk membezakan yang mana kawan atau lawan.

Ayu terdiam seketika. Terkelu lidahnya mendengar ugutan gadis yang muda setahun darinya. Dalam diam Fia itu rupa-rupanya berbisa.

Ayu cuba melepaskan pegangan Fia, namun kudratnya tidak sekuat Fia.

"Sayang, muka dah elok tapi hati busuk mengalahkan bangkai." Perli Fia, sengaja ingin menyakitkan hati Ayu. Pegangan pada tangan Ayu dilepaskan.

Ayu segera berpaling dan pergi dari situ secepat mungkin. Dirinya berasa tercabar berdepan dengan Fia.

"Lagak suci." Desus Fia.

***

"Urghhhhhhhhh."

Ara menggeliat. Dalam keadaan mata yang masih terpejam, tangannya ligat mencari selimut apabila mendapati tubuhnya tidak ditutup dengan selimut. Terasa suhu pada pagi itu terlalu sejuk. Hairan, selalunya tidaklah terlalu sejuk hingga menusuk ke tulang-belulang. Sedang tangannya ralit meraba-raba mencari selimut, tangannya terlebih dahulu menyentuh pahanya yang terdedah.

Matanya pantas terbuka. Automatik dia duduk tegak melihat dirinya masih mengenakan dress yang dibeli oleh Ayu untuknya semalam. Tangannya memicit-micit kepalanya yang masih pening. Tiba-tiba dia terfikir, bagaimana dia boleh pulang ke rumah dengan berpakaian sebegini? Ibunya tidak tahu kah?

Jam di dinding menunjukkan pukul 9.30 a.m. Ara bangun untuk membersihkan diri.

"Arghhh." Ara mengerang kesakitan sambil memicit-micit kepalanya. Belum sempat menapak ke bilik mandi, dia seakan-akan teringat sesuatu.

Mulutnya terlopong apabila teringat kejadian semalam.

Meskipun tidak mengingati kesemuanya, namun dia cukup ingat amukan ibunya malam tadi.

"Ya Allah, mati aku." Bisik Ara.

Kedengaran pintu biliknya dikuak dari luar, walaupun tidak tahu siapa, namun firasatnya kuat mengatakan yang membuka pintu itu adalah ibunya. Cepat-cepat Ara masuk ke dalam bilik mandi lalu menutup pintu kononnya untuk mandi. Takut jika amukan ibunya kembali lagi jika mengetahui dia masih berpakaian sebegitu.

"Hei Ara. Buka! Buka pintu ni sekarang!" Siti Hajar yang baru sahaja menyelesaikan semua rutin paginya meluru masuk ke bilik Ara lalu mengetuk kasar pintu bilik mandi tersebut. Bukannya dia tidak perasan kelibat anaknya yang kelam-kabut masuk ke dalam bilik mandi tadi.

"Errr Ara tengah mandi ni. Ada apa mak? Janganlah ketuk pintu macam nak roboh." Dalam kekalutan, Ara sempat menjawab. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia lari dari rumah sekarang juga. Seram ingin berhadapan dengan ibunya.

"Mak tak peduli. Mak nak kau buka pintu ni sekarang." Jawapan Siti Hajar benar-benar membuatnya tercekik darah.

"Buka pintu? Dengan pakai macam ni?" Ara bermonolog sendirian.

"Eh tak boleh, tak boleh. Kalau dia nampak, naya aku. Hmmmm." Ara mengusap dagunya sambil memikirkan sesuatu.

"Haaaa! Tuala!" Nasib baik dia sempat membawa tuala bersamanya sekali ke dalam bilik mandi. Lalu tuala tersebut dililit pada tubuhnya bagi menutupi dress yang dipakainya.

Dengan rasa gementar, pintu bilik mandi dibuka perlahan-lahan. Namun dibukanya separuh sahaja, menampakkan hanya sebahagian tubuhnya yang kelihatan.

Siti Hajar memandang tubuh anaknya. Pintu bilik mandi ditolak menyebabkan Ara mengundur sedikit ke belakang. Lalu, tuala yang dililit pada tubuh genit Ara itu direntap dengan kasar, sampai terkejut Ara dibuatnya.

"Mana kau dapat duit beli baju ni?" Soal Siti Hajar sambil menunjuk dress yang tersarung pada tubuh Ara. Nampaknya idea untuk menutup pakaian tersebut dengan tuala langsung tidak membantu.

"Ayu yang kasi. Dia belanja." Ara menunduk.

"Kau jangan nak tipu mak. Mak dah tahu semua."

"Tipu apa? Ara tak tipu, kalau mak suruh Ara bersumpah, Ara berani buat." Ara segera menghampiri ibunya lalu mengangkat tangan kanannya seakan-akan bersumpah.

"Oh tak tipu? Habis tu semalam kau mabuk, rupa dah macam orang tak betul, itu kau cakap tak tipu? Takkan air setan tu boleh masuk sendiri dalam mulut kau? Kau memang sengaja nak suruh mak mati cepat kan?" Suara Siti Hajar sudah melengking tinggi. Kesabarannya benar-benar sudah tipis!

Ara menekan perutnya yang terasa pedih. Tekaknya terasa loya semacam. Tanpa mempedulikan ibunya yang berdiri di hadapannya, laju sahaja kakinya melangkah ke bilik mandi, memuntahkan segala isi perutnya ke dalam mangkuk tandas kemudian membasuh mukanya di sinki.

Ara melangkah lemah keluar dari bilik mandi. Lehernya diurut perlahan kerana tekaknya masih terasa kelat setelah muntah sebentar tadi.

Menyirap darah Siti Hajar apabila menyaksikan anaknya muntah-muntah di depan mata dan kepalanya sendiri. Tercegil matanya kerana fikirannya mula terfikir yang bukan-bukan. Tanpa cuba bertanya kepada Ara terlebih dahulu, Siti Hajar terus bertindak. Almari pakaian dibuka, hanger dicapai.

"Anak tak guna! Kau rosakkan diri kau sendiri! Sanggup kau gadai maruah demi lelaki? Kau langsung tak sayang mak kan?" Rambut Ara ditarik sebelum tubuhnya ditolak hingga jatuh tersungkur ke lantai rumah. Badan belakang Ara dipukul berkali-kali dengan hanger. Kelakuan Siti Hajar sudah seperti orang yang tidak waras.

"Mak, sakit mak!" Ara meraung kesakitan.

"Selama ni aku sabar dengan kau. Aku yang lahirkan kau, aku besarkan kau, aku jaga kau, aku didik kau. Kau cakap dengan aku, apa lagi yang aku lupa ajar kau? Apa lagi yang tak cukup?! Sampai hati kau buat aku macam ni Ara! Aku jaga kau baik-baik, banyak kali dah aku pesan jaga maruah keluarga. Kau tengok apa kau dah buat sekarang!" Berkali-kali wajah Ara ditampar. Siti Hajar benar-benar sudah hilang sabar dengan anaknya. Tidak menyangka setegak itu Ara menconteng arang ke muka ibunya sendiri.

Ara terus memeluk kaki ibunya, merayu-rayu sambil meraung kesakitan.

"Sumpah mak! Ara tak buat. Ara tak pernah izinkan mana-mana lelaki rosakkan Ara. Ni semua salah faham. Ara tak mengandung, Ara cuma mual. Sumpah mak! Kalau mak suruh Ara junjung Quran pun Ara sanggup. Maafkan Ara mak. Maafkan Ara." Ara cuba menjelaskan situasi sebenar.

Fia muncul di muka pintu kerana terdengar pekikan suara ibunya.

"Ya Allah, mak! Apa mak buat ni?" Tanpa berlengah, Fia terus menghalang ibunya dari terus memukul kakaknya. Hanger di tangan ibunya diambil.

Kemudian Atul pula munculkan diri.

Atul segera merapati kakaknya yang masih memeluk kaki ibunya. Perlahan-lahan dia membantu Ara untuk bangkit lalu memapahnya duduk di hujung katil.

Gugur air matanya tatkala melihat luka-luka kecil serta calar-balar yang berbekas di tubuh kakaknya.

"Kau dengar sini, mulai hari ni mak haramkan kau keluar dari rumah selama sebulan. Kalau kau masih lagi nak jadi anak mak, kau dengar cakap mak. Sekali lagi kau buat onar, mak takkan teragak-agak buang kau dari rumah ni." Arah Siti Hajar dengan tegas sebelum berlalu keluar dari bilik itu.

***

Ugutan ibunya masih lagi terngiang-ngiang dalam kotak fikirannya sehingga dia benar-benar berwaspada agar tidak mengulangi kesalahan yang sama itu lagi. Pernah berkali-kali dia bertanya kepada Ayu perihal kejadian itu, namun Ayu memberitahunya bahawa Ayu turut menjadi mangsa keadaan seperti dirinya sendiri. Kebohongan Ayu itu dipercaya bulat-bulat. Hingga kini, dia masih lagi tertanya siapakah dalang di sebalik kejadian malam itu.

Bersambung...

Wednesday, 3 August 2016

WILL YOU BE MY HAURA? (Bab 3)

Ara bingkas bangun lalu membetulkan posisi kedudukannya sambil mengadap ibunya. Seakan mengerti renungan ibunya, Ara mula bersuara menjelaskan insiden tersebut.

"Errr.. Ara minta maaf. Tadi.. Tadi masa tengah berjual, tiba-tiba ada kereta langgar Ara." Ara mula bersuara. Cuba mengumpul kekuatan untuk menjelaskan situasi sebenar.

"Nasi lemak mak, habis semua jatuh. Errr tapi mak jangan la risau, orang yang langgar tu dah bayar ganti rugi. Nah, dia siap bayar lebih lagi." Ara mengeluarkan RM300 dari poket seluarnya dan menghulur duit tersebut kepada ibunya.

"Ya Allah..." Siti Hajar memicit-micit kepalanya, terkejut bercampur geram mendengar penjelasan Ara sebentar tadi.

Ara sudah mulai menunduk. Dia tahu dia sudah mengecewakan ibunya. Selama dia membantu ibunya menjual nasi lemak, mana pernah kejadian sebegini berlaku.

"Macam mana kau bawa basikal tu Ara? Habis nasi lemak mak." Siti Hajar mendekati Ara yang sedang duduk bersila di atas katil. Nampaknya mengharapkan bantuan Ara untuk mencari rezeki bukanlah satu idea yang bernas. Bahkan makin jaharu jadinya.

"Kau ni Ara. Penat mak masak. Mak bangun pukul 2 pagi tau tak, semata-mata nak siapkan semua tu. Nak harapkan kau bangun awal tolong sekali, haram! Bangun subuh pun liat. Ingatkan minta tolong kau, bolehlah ringan sikit beban mak. Tak boleh harap. Bulan ni jangan harap nak dapat duit belanja." Duit di tangan Ara diambilnya lalu berpaling melangkah keluar dari bilik tersebut.

Langkahnya terhenti. Dia menoleh ke arah Ara semula.

"Ara, mak tahu bukan senang hidup tanpa ayah. Mak tahu kau tak rapat dengan mak macam mana kau rapat dengan ayah dulu. Tapi jangan sebab kau terpisah dari ayah, kau buat perangai macam ni." Siti Hajar sedar bahawa Ara telah banyak berubah semenjak penceraiannya dengan Ubaidillah, bekas suaminya. Ara semakin kuat memberontak dan mula keluar dengan kawan-kawan lelaki. Bila ditanya hendak ke mana, hendak ke perpustakaan jawabnya. Konon untuk study group, walhal nak berdating.

Ara tak pernah gagal dalam membohongi ibunya dengan sandiwaranya. Dan yang lebih menyedihkan, Ara semakin liar sejak berkawan dengan si kaki sosial, Ayu. Jika dahulu, sebelum ibu dan ayahnya bercerai, Ara rajin mengenakan tudung setiap kali ingin keluar ke mana-mana. Setiap malam jumaat, pasti dia dan adik-adiknya ikut menemani ayahnya ke surau. Sebaik sahaja pulang dari sekolah, pada sebelah petang, dia akan siapkan kerja sekolahnya secepat yang mungkin kemudian meluangkan waktu yang selebihnya bersama keluarga.

Namun kini, semuanya sudah berubah. Imejnya jauh berbeza sama sekali. Waktu lapangnya lebih banyak dihabiskan bersama Ayu dan teman-temannya yang lain. Ini semua kerana sering dipengaruhi oleh si Ayu, anak tunggal Bahar yang sering bersosial dan bergaul dengan budak-budak 'nakal' di kampung tersebut.

Ara diam. Kata-kata ibunya tidak pula disangkalnya. Lazimnya, setiap kali Siti Hajar menegurnya, ada sahaja akalnya ligat mencari 'bahan' untuk menjawab. Mak borek, anak rintik. Namun, kali ini Ara memilih untuk diam. Sebaik sahaja si ibu menapak keluar dari bilik, tanpa sedar manik-manik jernih mula gugur membasahi pipi.

"Ayah..." Rintih Ara.

Hatinya terus rindu sebaik sahaja ibunya mengungkit kembali perihal ayahnya. Anak mana yang tidak rindu setelah bertahun-tahun berpisah dari ayah kandung sendiri.

3 tahun. Ya, 3 tahun itu sudah cukup menjadi saksi penderitaannya menanggung rindu yang tidak bertepi. Air matalah peneman setianya setiap malam. Sungguh, dia perlukan ayahnya. Dia benar-benar rindukan kasih seorang ayah. Rindukan keluarganya yang dahulu.

Beratnya hati hanya Allah yang tahu saat perkataan 'cerai' terlafaz di bibir ayahnya gara-gara salah faham antara dua pihak. Saat itu, bermulalah penderitaannya hidup dalam keluarga yang bercerai-berai.

Terlalu banyak peristiwa besar yang terjadi dalam hidupnya sejak berpisah dari si ayah. Namun, paling tidak dapat dilupakan adalah malam yang hampir-hampir 'meragut' kesucian dirinya.

Dua tahun yang lalu, Ara pernah dipukul teruk serta dikenakan perintah berkurung selama sebulan kerana terkantoi sedang 'berseronok' di sebuah pub bersama seorang lelaki yang bernama Shazwan. Semuanya helah si Ayu, yang kononnya mempelawa Ara untuk membeli-belah di bandar, rupa-rupanya di tempat 'maksiat' itulah 'dicampak'nya Ara.

***

Malam itu, Ayu berkomplot dengan Shazwan, bekas pelajar SMK Seri Muara merangkap bekas teman sekelas Ara. Seorang pelajar yang bermasalah. Berhenti sekolah seawal usia 14 tahun kerana minat untuk belajar sudah tiada lagi. Shazwan yang sekian lama menaruh hati pada Ara semakin tercabar sifat kelelakiannya apabila Ara langsung tidak pernah membalas cintanya, malah menghinanya di depan semua pelajar kelas 3 Cempaka. Oleh kerana kenangan 'pahit' yang telah memberikan tamparan besar dalam hidupnya itulah yang mendorongnya untuk bersubahat dengan Ayu, merancang sebuah rancangan untuk menjatuhkan Ara dengan menggunakan taktik keji.

Disebabkan sikap Ara yang mudah percayakan orang itulah yang membuatkan rancangan Ayu dan Shazwan berjalan dengan lancar.

Pil khayal diletakkan ke dalam minuman tanpa pengetahuannya. Tanpa mengetahui keadaan sebenar, Ara meneguk Coke tersebut berkali-kali tanpa rasa was-was. Kepalanya mula terasa pening. Terasa tubuhnya seakan-akan melayang. Ayu yang duduk bersebelahan dengannya dalam diam mengambil gambarnya yang sedang 'nikmat' dalam dunianya sendiri. Gambar-gambar itu boleh digunakan sebagai satu 'kelebihan' untuknya satu hari kelak, pada saat yang benar-benar diperlukannya.

Shazwan yang tiba beberapa minit kemudian terus duduk di sisi Ara. Melihatkan Ara yang sedang 'khayal' lengkap dengan pemakaian yang agak 'seksa' itu membuatkan Shazwan terasa 'sesak'. Kerakusan nafsunya sudah tidak dapat dibendung lagi. Tanpa disuruh, Ara sendiri yang melentokkan kepalanya di atas bahu Shazwan disebabkan penangan pil tersebut. Ayu pula tidak ketinggalan untuk merakam babak terlebih 'sweet' itu.

Telefon bimbit Ayu berdering, tertera nama 'Mak Cik Hajar' pada skrin telefonnya.

Ayu panik. Pada mulanya, panggilan itu tidak mahu diangkat.

Namun, entah bagaimana, tiba-tiba sahaja otaknya terfikir akan satu idea yang sangat brilian. Sesuatu yang tidak pernah terfikir olehnya sebelum ini.

Panggilan Siti Hajar terus dijawabnya tanpa ragu-ragu.

"Hello?"

'Hello, Ayu ke ni?"

"Ya, Ayu ni. Makcik, nasib baik makcik call. Ayu dah tak tau nak buat apa ni makcik. Ara, mak cik." Lirih Ayu. Suaranya juga mula berubah menjadi sayu dan resah.

"Ara? Kenapa dengan Ara? Makcik baru nak tanya pasal dia ni. Tu apa bising-bising tu? Korang kat mana ni?" Tanya Siti Hajar yang mulai bimbang. Memandangkan Ara belum mempunyai telefon bimbit sendiri, maka Ayulah orang pertama yang akan dicarinya jika mereka lambat balik ke rumah.

"Nanti Ayu cerita makcik. Kejap lagi Ayu bawa Ara balik." Jawab Ayu diselit dengan esakan tangisnya. Sengaja dibuatnya begitu bagi membuatkan lakonannya lebih menjadi dan dramatik.

"Bawa? Apa maksud Ayu? Ara buat apa dekat Ayu? Ayu okey ke ni? Kenapa suara macam menangis ni?" Bertubi-tubi soalan diajukan kepada Ayu.

"Nanti Ayu cerita ya makcik. Ayu letak dulu. Assalamualaikum." Button 'end call' ditekan.

Ayu senyum.

"Huhh! Menjadi jugak lakonan aku. Ada bakat terpendam rupanya aku ni." Ayu memuji dirinya sendiri sambil ketawa kecil.

"Siapa?" Tanya Shazwan.

Ayu menoleh ke arah Shazwan yang sedang hangat bermadu kasih dengan gadis kesayangan.

"Bakal mak mentua kau." Sindir Ayu. Ara yang berada dalam pelukan Shazwan dijelingnya sekilas.

"Kitorang kena balik. Mak perempuan ni dah bising." Sambung Ayu sambil mengerling sekilas ke arah Ara.

"Alaaaa, baru pukul 11. Takkan nak blah? Rileks la dulu." Shazwan cuba memujuk.

"Tak boleh la Wan, aku ada plan lagi dahsyat ni. Lagipun aku dah janji dengan mak dia tadi untuk bawa dia balik sekarang jugak." Balas Ayu.

"Eh mana boleh macam ni, aku tak puas lagi. Aku belum dapat apa yang aku 'nak' lagi. Mana boleh blah macam tu je." Shazwan mendengus kasar.

"Alaa kau ni pun. Tak sabar-sabar! Nanti-nantilah aku bawa dia ke sini lagi. Kau boleh tak ikut je apa aku cakap? Dah dah, tepi." Ayu mengalih lengan Shazwan yang berpaut pada bahu Ara.

Ayu menelefon servis prebet sapu untuk menghantar mereka pulang ke rumah. Tubuh Ara digendong di belakang badannya. Slingbag Ara dicapainya. Tubuh Ara yang lemah longlai itu menjadikan tubuh Ara sedikit berat, membuatkan Ayu semakin membongkok. Dengan langkah yang kurang stabil, Ayu gagahkan jua kakinya untuk melangkah keluar dari pub tersebut.

Setibanya di rumah Ara, Ayu lantas mengubah mimik mukanya agar kelihatan sedih. Eye-Mo dititiskan ke matanya. Dia kembali meneruskan aktingnya.

"Ara, bangun. Kita dah sampai ni." Pipi Ara ditampar lembut. Ayu cuba menyedarkan Ara yang terlelap sepanjang perjalanan pulang tadi.

Ara perlahan membuka matanya. Ara mengerutkan dahi sambil memicit-micit kepalanya yang terasa pening. Segala yang dilihatnya samar-samar. Dirinya masih berada dalam keadaan separuh sedar memandangkan penangan pil khayal itu masih menguasai dirinya.

"Jom lah, keluar cepat." Ayu menarik lengan Ara untuk keluar dari kereta kancil itu.

"Nah pakcik. Terima kasih ya." Ayu membayar tambang kepada pakcik tersebut, lalu mengheret Ara keluar dari kereta tersebut.

Lengan kiri Ara dipaut pada bahunya. Perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke pintu rumah.

"Assalamualaikum. Makcik! Makcik!" Ayu memberi salam.

Pintu dikuak dari dalam.

"Waalaikumussalam. Ya Allah! Ara!!!"

Bersambung...