"ARA!!!!!"
Tersentak lamunan Ara apabila biliknya bergema dengan laungan suara yang sudah tidak asing lagi pada halwa telinganya.
Siti Hajar adalah antara ibu di dunia ini yang dikurniakan sebuah keistimewaan iaitu mempunyai suara yang lantang dan nyaring.
Dalam Kampung Pinang Jambu, Siti Hajar begitu dikenali dengan keenakan masakan nasi lemak sambal sotongnya yang tiada tolok tandingannya. Kelantangan suaranya itu tidak pernah menyepikan suasana kampung tersebut. Tepat jam 6.30 a.m, suara lantang itulah yang sering membingitkan setiap pelosok Kampung Pinang Jambu. Sebut sahaja nama Puan Hajar, pasti setiap penduduk kampung mengenalinya.
Dalam keadaan masih mamai, Ara langsung bangun menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Tuala segera dicapainya. Sudah menjadi rutin hujung minggunya untuk bangun seawal 4.00 a.m untuk menolong ibunya membungkus nasi lemak dan mula keliling kampung menggunakan basikal lamanya tepat pada 6.30 a.m.
"Kau ni Ara, cubalah berubah. Janganlah asyik harapkan mak je kejutkan kau. Letihlah mak macam ni. Mak kejut kau pukul 4.00 a.m, kau bangun pukul 4.30 a.m. Itupun nak kena mak besarkan suara. Kalau tak, haram kau nak bangun. Itu baru bangun dari tidur. Ni kau nak ambil tuala, berjalan terseret-seret kaki tu masuk bilik mandi pun dah 10 minit, lepas tu buka air paip. Kau termenung sambil gosok gigi, bila air dalam baldi tu dah mencurah-curah, baru kau nak mula mandi. Heiii anak dara apalah kau ni Ara." Tuuuu diaaa. Panjang meleret bebelan Siti Hajar yang sedari tadi masih tercogok sambil berpeluk tubuh di depan pintu bilik anak sulungnya itu.
Geram mengenangkan anak daranya yang sudah mencecah usia 17 tahun namun sikap tidak pernah seiring dengan umur.
"Yes mem. Mak jangan risau, nasi lemak sambal sotong mak tu confirm laku berkat bebelan mak awal-awal pagi ni." Dalam keadaan separuh sedar, Ara sempat membalas bebelan ibunya sebelum menutup pintu bilik mandi. Ara sudah masak dengan sikap ibunya itu. Bangun lambat sikit, memang itulah tazkirah yang sama didengarinya setiap pagi.
"Amboi, sedap mulut kau mengata mak." Ujar si ibu yang mudah berkecil hati dengan sindiran pedas anak sulungnya yang disifatkan sebagai 'mulut laser'.
Pintu bilik mandi dikuak semula apabila terdengar ibunya memerlinya sekali lagi. Pantang diperli, ada sahaja yang ingin dijawabnya.
"Eh, mana ada mengata mak. Dah memang tu hakikatnya. Mak tu sampai bila nak tercogok depan pintu tu? Subuh dah nak masuk ni." Ara terus mengingatkan ibunya bahawa waktu subuh dah nak masuk bagi mengelakkan ibunya melalut tak bersudah. Lagak warak walhal jika disuruh solat, ada sahaja alasan yang diberikan. Yang rajin beribadah dalam rumah itu hanyalah ibu dan adik bongsunya sahaja.
Berdesing telinga Siti Hajar mendengar ungkapan anaknya itu. Sungguh, tak sayang mulut!
"Hai lah anak. Nasib kau tu anak aku. Kalau tak, lama dah aku cilikan mulut tu. Nama bukan main elok aku bagi, Haura (bidadari), tapi perangai tak seindah nama. Bertuah punya anak." Gomel Siti Hajar sendirian yang semakin tipis kesabarannya melayani kerenah si anak bertuah itu.
***
Usai mandi, Ara bergegas ke dapur memandangkan jarum jam sudah menunjukkan pukul 5.45 a.m.
"Masak aku." Ara seakan sudah tahu apa yang bakal terjadi. Macamlah tidak kenal sikap ibunya itu. Lambat sikit, berleterlah jawabnya. Ara spesies yang kuat berendam. Nak disuruh mandi, bukan main liat. Tapi bila dah berada dalam bilik mandi, punyalah liat nak keluar. Nak nak sejam selepas itu baru muncul batang hidungnya. Ibu mana tak bising bila mengadap anak sebegitu.
Tiba sahaja di dapur, terus dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Tanpa disuruh, dia sendiri yang membungkuskan nasi lemak bagi mengelakkan ibunya membebel lagi dan lagi. Rambutnya yang masih lembap dibiarkan terurai. Sambil membungkus, sambil itu jugalah dia berpura-pura menyanyi. Bukannya dia tak tahu, si ibu yang duduk di hadapannya dari tadi merenungnya dengan pandangan tajam bak harimau yang ingin membaham mangsa.
Siti Hajar benar-benar sudah masak dengan sikap anak-anaknya. Antara ketiga-tiga anaknya, Ara lah satu-satunya anak yang mewarisi sikapnya. Mana tidaknya, sikap Ara itu saling tak tumpah seperti dirinya ketika remaja dahulu. Kuat berendam, jenis cakap tak berlapis, alah memakai barang kemas. Pokoknya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
"Dah solat belum?" Tanya si ibu dengan nada sinis memecahkan kesunyian di ruang dapur itu.
"Dah." Ara selamba membohongi ibunya. Bukan sekali dua dia berbuat demikian. Malah, setiap hari dia berbohong apabila diajukan soalan begitu.
Sama juga keadaannya di sekolah. Jika ada kelas luar sidang, maka dia akan sedaya upaya cari jalan untuk ponteng kelas. Jika disuruh ustazah untuk solat, ada masa dia akan berbohong menggunakan alasan "bendera jepun". Ada masa dia terpaksa juga solat jika ustazah mula menghidu kebohongannya. Pernah berkali-kali ditegur ustazah tentang sikapnya itu. Ustazah sentiasa menasihatinya agar berubah. Namun remaja sepertinya ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Hatinya keras seperti batu. Sejak penceraian orang tuanya, dia berubah 360 darjah. Semakin liar dan kuat memberontak. Apatah lagi pernah terkantoi dengan ustazah apabila dia sedang berpelukan dengan kekasihnya di sebuah mall. Nasib hal itu tidak diketahui ibunya. Kalau tidak, perintah berkurung setahun!
"Kau tipu mak takpe. Tapi kau jangan lupa, ada yang Maha Melihat." Siti Hajar memerli anak daranya yang acuh tak acuh menjawab soalannya tadi.
"Mak tak nak bila mak dah 'tak ada' nanti, kau terus dengan perangai macam tu. Kau sebagai anak sepatutnya kurangkan azab orang tua." Sambung Siti Hajar melihat Ara pura-pura gigih membungkuskan nasi lemak tanpa menghiraukan nasihatnya sebentar tadi.
Ara hampir menyiapkan kerjanya, berbaki dua bungkus sahaja lagi yang perlu disiapkan untuk mencukupkan jumlah 50 bungkus nasi lemak.
***
6.20 a.m.
Ara bingkas bangun dari tempat duduknya lalu memasukkan bungkusan nasi lemak yang terakhir ke dalam bakul. Rambutnya yang panjang aras pinggang itu diikat. Menyedari dirinya memakai t-shirt yang nipis, langsung sweater ungu dicapai lalu dikenakan pada tubuh kecilnya memandangkan sejuknya embun pagi itu menusuk hingga ke tulang-belulang.
"Mudah-mudahan jualan hari ni terlajak laris. Huhu." Ara berbicara sendirian sambil tunduk membuka kunci tayar basikalnya.
"Elok-elok bawa basikal tu. Kalau ada budak-budak nakal kacau, jangan melayan pulak. Kau tu anak dara. Habis je jualan, terus balik rumah. Jangan nak melencong ke rumah Ayu pulak." Siti Hajar sudah mula berleter. Risau jika apa-apa terjadi pada anak sulungnya itu. Entah kenapa, naluri keibuannya mula merasa serba tidak kena. Seakan sesuatu musibah bakal menimpa.
"Eee mak ni. Pagi-pagi macam ni budak-budak tu semua belum bangunlah mak. Entah-entah tengah lena dibuai mimpi, siap air liur meleleh-leleh pulak tu. Euu geli mak aihh." Balas Ara sambil menjelirkan lidahnya membayangkan kata-katanya sebentar tadi.
"Yela. Mak pesan je. Anak-anak mak ni lawa-lawa belaka, kau ingat mak tak tahu yang budak-budak kampung ni selalu kacau kau? Kau jangan ikut perangai si Ayu tu. Pantang nenek moyang mak." Siti Hajar mula bertegas.
Gulppp!
Ara menelan air liur sambil tersenyum kelat. Bimbang kalau ibunya tahu sikapnya di luar seperti apa. Ibunya sentiasa peka tentang dirinya. Macam detektif. Semua benda diselidiknya. Sampai sikap Ayu itu pun turut sampai ke pengetahuannya.
"Ni mesti spy mak yang dua orang tu cakap kan?" Soal Ara sambil mengangkat keningnya. Dia tahu benar olahan adik-adik kembarnya. Ada sahaja yang mahu diupdate pada si ibu.
Siti Hajar diam dan sekadar senyum.
"Okeylah mak, Ara pergi dulu. Assalamualaikum." Ara mula mengayuh basikal untuk memulakan rutin hujung minggunya.
"Waalaikumussalam." Balas Siti Hajar yang sedang memerhati anaknya beredar dari perkarangan rumah. Figura gadis itu semakin hilang dari pandangan mata.
*** Terasa nyaman menghirup udara segar di awal pagi. Burung berkicauan. Cahaya matahari mula menyinari Kampung Pinang Jambu. Sambil mengayuh basikal usang, Ara mengamati setiap keindahan ciptaan Tuhan. Sawah yang terbentang luas di sekitar kampung itu turut menarik perhatiannya sehingga membuatkan dia terleka, asyik dengan dunianya."PON! PON! PON!"
Bunyi hon kereta yang bergema kuat langsung mengejutkannya dari keasyikannya. Belum sempat mahu mengelak, malang tidak berbau, kereta mewah itu terlebih dahulu melanggarnya.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment